Thursday, 29 October 2009

Khutbah Jumaat 13.03.09

Pengantin perempuan perlu berpakaian menutup aurat

Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Pengantin perempuan hendaklah memakai pakaian yang menutup aurat manakala pengantin lelaki ditegah dari memakai perhiasan seperti rantai dan gelang lebih-lebih lagi jika ia diperbuat daripada emas ketika majlis perkahwinan.

Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini turut mengingatkan bahawa adalah wajib bagi mereka yang dijemput hadir ke satu-satu majlis perkahwinan itu untuk menghadirinya, namun kewajipan hadir memenuhi undangan itu digugurkan jika didapati majlis berkenaan mengadakan acara yang mungkar.

Perkara yang mungkar itu adalah seperti disediakan minuman arak, mengadakan acara hiburan seperti nyanyian, majlis tari-menari, alunan muzik dari alat-alat atau bunyi-bunyian yang haram dan sebagainya yang mengasyikkan dan melalaikan dari mengingati Allah, terangnya.

Sehubungan dengan itu, dalam mengadakan majlis perkahwinan, kita sebagai umat Islam hendaklah tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak semasa mengadakan majlis perkahwinan itu, ujarnya. Khatib menerangkan itu adalah kerana majlis yang diadakan adalah untuk mengharapkan keberkatan dan doa restu dari sanak saudara kita, maka adalah mustahak majlis itu tidak di campur-adukkan dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama.

Adalah elok majlis berkenaan diiringi dengan nyanyian Selawat memuji serta mensyukuri Allah dengan pukulan rebana kerana kaedah sedemikian adalah diharuskan di segi syarak, cadangnya.

Khatib turut menerangkan secara lebih lanjut bahawa kewajipan memenuhi undangan itu juga bergantung pada syarat-syarat yang tertentu yang lain seperti orang yang dijemput itu tidak mempunyai keuzuran yang akan menghalangnya dari menghadiri undangan itu dan tidak ada jemputan lain yang mendahului jemputan orang yang menjemput itu.

"Di Negara kita, telah menjadi adat masyarakat orang Brunei untuk mengadakan majlis bersanding iaitu kedua mempelai akan duduk di atas pelamin untuk dipertontonkan kepada jemputan yang hadir."

Maka Khatib memperingatkan bahawa bersanding itu hanyalah adat, dan bukan syariat, tetapi jika hendak dibuat juga, maka persandingan itu dan acara-acaranya hendaklah tidak melanggar hukum syarak.

Menurutnya, agama Islam mewajibkan akad nikah bagi setiap pasangan yang hendak berkahwin, dan tempat yang paling digalakkan mengadakan akad nikah itu ialah di masjid kerana masjid merupakan tempat yang banyak diturunkan rahmat.

Islam juga menganjurkan supaya pernikahan itu dihebahkan dan sunat mengadakan majlis kenduri kahwin atau memberi jamuan kepada jemputan yang hadir bagi sama-sama memeriahkan majlis yang diadakan, katanya lagi.

"Majlis perkahwinan yang dikehendaki oleh syarak sangat mudah dan tidak menyusahkan, oleh itu perkahwinan yang baik ialah yang ringan perbelanjaan, yang tidak memberatkan, tidak bermewah-mewah dan tidak melebihi batas-batas yang diperluaskan serta tidak membawa kepada pembaziran kerana pembaziran itu bertentangan dengan hukum syarak."

Sebenarnya mengadakan majlis perkahwinan sehingga terpaksa menanggung beban hutang tidaklah disuruh oleh agama kerana risiko berhutang sangat tinggi baik di dunia mahupun di akhirat, lebih-lebih lagi jika berhutang itu dengan cara riba, tegas Khatib.

Namun tidak dinafikan pada masa kini terdapat sebilangan orang yang terpaksa berhutang untuk majlis perkahwinan kerana tidak mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi, sama ada membuat pinjaman di bank atau meminjam dari kaum keluarga, tambahnya.

Namun Khatib mengingatkan supaya janganlah hendaknya ia banyak berhutang sehingga menyukarkannya untuk membayar balik hutang berkenaan yang akhirnya hanya akan membebankan hidupnya di kemudian hari nanti.

"Oleh itu sudah sewajarnya majlis perkahwinan yang hendak dibuat itu biarlah secara sederhana dan mengikut kemampuan saja, tidak perlu membebankan dirinya dengan memenuhi semua majlis adat istiadat perkahwinan yang diwarisi lebih-lebih lagi sebenarnya majlis yang digalakkan untuk meraikan hanyalah pada majlis pernikahan itu saja."

 

blogger templates | Make Money Online